Wednesday, February 4, 2009

Kereta Tidak Guna Minyak

.

BATERI kereta ini boleh bertahan untuk perjalanan sehingga 563 kilometer untuk sekali caj.
MASALAH kenaikan harga minyak yang berterusan sememangnya menjejaskan kehidupan ramai penduduk di seluruh dunia terutama bagi mereka yang terpaksa ‘mengembara’ jauh apabila hendak ke tempat kerja. Selain daripada memberi kesan kepada kenaikan harga barangan, kenaikan minyak juga boleh menyebabkan anda terpaksa melupakan hasrat mendapatkan kereta idaman walaupun anda mungkin mampu membelinya.

Ini kerana seperti yang kita ketahui, ramai daripada kita yang mengidamkan kereta-kereta sports seperti Ferrari, Lamborghini, Porsche, Lotus dan sebagainya kerana gaya dan juga kelajuannya. Kereta-kereta sports ini sememangnya terkenal kerana penggunaan minyak yang tinggi dan sudah tentu tidak sesuai dijadikan pilihan di kala dunia menyaksikan tiada tanda-
tanda harga minyak akan kembali stabil.

Tetapi anda jangan bimbang. Sebuah syarikat teknologi automatif di Silicon Valley, California telah memberikan kita harapan yang satu hari nanti mungkin kita akan mampu memiliki kereta sports yang tidak memerlukan minyak. Setelah sekian lama menanti, akhirnya Tesla Motors telah memperkenalkan kepada umum kereta sports menggunakan kuasa elektrik dikenali sebagai ‘Tesla Roadster.’

“Anda boleh memanggilnya apa sahaja… kereta teknologi tinggi, teknologi bersih, teknologi hiburan, teknologi automotif… apa sahaja kerana ia sememangnya sesuatu yang menarik,” kata ketua pegawai eksekutifnya, Martin Eberhard. Kereta yang dinanti-nantikan itu telah merubah pandangan masyarakat terhadap kemajuan dalam pembangunan kenderaan elektrik sebelum ini yang lebih menjurus kepada sebuah kenderaan kecil, reka bentuk tidak menarik dan amat perlahan.

Tesla Roadster yang berharga kira-kira RM292,000 itu dikatakan mampu mencapai kelajuan sehingga 209 kilometer sejam (km s/j) dan baterinya boleh bertahan untuk perjalanan sehingga 563 kilometer untuk sekali caj. Menurut syarikat itu, kemampuan Tesla Roadster mencapai jarak sejauh itu disebabkan penggunaan Sistem Storan Tenaga (ESS) bateri lithium-ion yang digunakan. Kereta sports ini juga mampu memecut dari 0 hingga 96km s/j dalam masa empat saat, suatu kemampuan yang biasanya terdapat kepada kebanyakan kereta sports berasaskan minyak masa kini.

“Tetapi apa yang paling membezakannya ialah Tesla Roadster langsung tidak menggunakan setitik minyak,” kata Eberhard. Beliau berkata, kejayaan itu yang menjadi sasaran syarikatnya apabila memulakan operasi tiga tahun lepas, iaitu membina kereta yang langsung tidak mencemarkan alam dan orang ramai gemar memandunya. Menggunakan sistem transmisi manual dua kelajuan, kuasa Tesla Roadster didatangkan dalam tiga peringkat menggunakan motor induksi AC 4-pole digandingkan dengan Power Electronics Module (PEM).
Ia memberikan fungsi yang pelbagai dalam membekalkan bekalan arus elektrik jenis ulang-alik dalam tiga fasa serta juga untuk sistem brek regeneratif.

Sistem ESS yang tahan lama menawarkan kuasa kepada keseluruhan kenderaan menggunakan 6,831 sel lithium-ion, serangkaian cip mikropemproses untuk mengekalkan keseimbangan caj dan kawalan suhu bagi kesemua bateri. Ia juga meliputi sistem penyejukan dan sistem keselamatan yang direka bentuk untuk memutuskan bekalan jika menghadapi sesuatu masalah keselamatan. Pemilik Tesla Roadster akan dibekalkan dengan Peralatan Perkhidmatan Kenderaan Elektrik (EVSE), iaitu sistem mengecaj kegunaan rumah.

Mereka juga boleh mendapatkan kit pengecaj bergerak yang boleh digunakan apabila dalam perjalanan jauh dan setiap kali caj, ia akan memakan masa 3.5 jam. Reka bentuk Tesla Roadster telah dilakukan oleh sekumpulan pereka bentuk yang diketuai oleh Barney Hatt, ketua pereka bentuk di Lotus Design Studio di England. Aktiviti penyelidikan dan pembangunan Tesla Motors dilakukan di ibu pejabatnya San Carlos, California dan enjin dibuat di kilang Tesla di Taiwan dan kerja-kerja pemasangan dilakukan di kemudahan Tesla di England.

Tesla Roadster telah dibuka untuk tempahan bagi penduduk sekitar California dan beberapa bandar sekitarnya dan para pelanggan dijangka mendapat kereta idaman mereka itu menjelang pertengahan tahun depan. Tesla sebenarnya tidak akan berhenti dengan pengeluaran kereta sports ini kerana mereka sedang membangunkan kereta sedan menggunakan kuasa elektrik yang dijangka memasuki pasaran pada 2008.
.